Friday, 26 May 2017

Sejarah Islam

Sultan Muhammad Al-Fateh

Image result for sultan muhammad Al-fateh

Hadis Mengenai Sultan Muhammad Al-Fateh

Sabda Rasulullah SAW ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq:
"....Konstantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik Raja,
tenteranya adalah sebaik-baik tentera..."

( Hadis Riwayat Imam Ahmad)



Hadis ini telah membakar semangat begitu ramai tokoh dan tentera islam untuk menakluki dan membuka kota Konstantinople yang terkenal dengan kekebalan temboknya. Dari semasa ke semasa ada saja perwira yang mahu memenuhi Hadis Rasulullah tetapi usaha mereka tidak menemui kejayaan untuk menembusi tembok konstantinople. Menarik dan uniknya kota ini ialah kota ini kepunyaan Empayar Byzantine yang merupakan laluan utama untuk membuka Eropah secara keseluruhannya.
Terdapat satu-satu pemimpin islam yang menakluki kota ini ialah Sultan Muhammad Al-fateh yang berjaya menandingi pemimpin islam sebelum beliau untuk menakluki kota Konstantinople. Siapakah Sultan Muhammad Al-Fateh? Apakah kehebatan baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut "sebaik-baik raja" dan "sebaik-baik tentera" dalam hadis tersebut?





Zaman Kecil


Image result for sultan muhammad Al-fateh

Sultan Muhammad Al-Fateh dilahirkan pada 30 Mac 1432 di sempadan Turki-Bulgaria. Bapanya Sultan Murad II (1401-1451) seorang yang soleh, handal dalam strategi perang dan mempunyai pandangan yang jauh. Sultan Murad memberikan didikan yang sempurna kepada anaknya sehingga Sultan Muhammad mempunyai peribadi yang baik. Sultan Muhammad belajar dan menguasai pelbagai cabang ilmu seperti agama, politik, strategi perang, seni bela diri, tasauf, psikologi dan lain-lain. Guru beliau iaitu Syeikh Shamsuddin pernah berkata kepada Sultan Murad bahawa bukan baginda yang akan menguasai kota konstantinople tetapi anaknya iaitu Sultan Muhammad yang ketika itu sedang berada dalam buaian itu.

Fasa Penaklukan Kota Konstantinople

Image result for sultan muhammad Al-fateh

Selama 2 tahun selepas  beliau menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Kostantinopel setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom  sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Konstantinopel apabila diserang nanti. Sungguh bijak dan rapi perancangan Sultan Muhammad Al-Fateh. 

Baginda membawa bersama para ulama dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Konstantinopel, baginda mengarahkan dilaungkan azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.


Image result for sultan muhammad Al-fateh

Setelah segala persiapan lengkap diatur, baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan Raaja Bizantin menyerah mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantine berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.

Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Uthmaniyyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Byzantine.Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Uthmaniyyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik ini diakui sebagai antara taktik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.

Kapal-kapal perang tentera Byzantine habis terbakar dek bedilan meriam Uthmaniyyah. Pertahanan Byzantine menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada hadis Rasulullah SAW dan bersama-sama berdoa kepada Allah SWT. Keesokan paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantine menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengah hari.



Image result for sultan muhammad Al-fateh



Pada 29 Mei 1453, Kota Konstantinopel jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St. Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawaduknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran "Al-Fateh" iaitu yang bermaksud "pembuka" atau "penakluk" lantaran kejayaannya membebaskan Konstantinopel.


Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali, sila duduk!" Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk!" Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!" Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud sejak baligh. Baginda sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya itu.


Di sini saya sertakan beberapa video dan filem berkenaa Sultan Muhammad Al-fatih untuk tontonan anda.

https://www.youtube.com/watch?v=9hiGvJ9fbQk
https://www.youtube.com/watch?v=WdfsclnR5Gk
https://www.youtube.com/watch?v=q0WLoC_BDck

No comments:

Post a Comment